Tuan Belog

My photo
Blogging since 18 November 2011. Heyyy, slowly I'm backk ! dhiaadawiyah@gmail.com

Thursday, 12 April 2012

Cerpen : Biar Sampai ke Bintang

Rauqah...
Fariz janji Fariz akan capai cita-cita Fariz.
Cita-cita kita berdua.
Fariz juga janji akan taat kepada kedua ibu bapa Fariz dan akan membalas jasa mereka suatu hari kelak. Itu janji Fariz. Kau takkan kulupakan ~

Imbas Kembali...

    “Fariz Iskandar Bin Faiz Azizi! Selagi awak tak ubah sikap awak yang teruk tu saya tak akan teragak-agak untuk buang awak dari sekolah ini. Awak jangan fikir kerana ibu bapa awak bercerai, awak boleh lepaskan tanggungjawab awak sebagai pelajar begitu sahaja.” Cikgu Amir bertegas. Kali ni Fariz tidak boleh diberi muka. Nanti semakin naik lemak pula sikapnya. “Awak dengar ya, tanggungjawab kita sebagai seorang anak tak akan pernah habis. Terutamanya mendoakan kebaikan ibu bapa kita dalam keadaan sihat sejahtera.” Sambungnya lagi namun Fariz hanya buat endah tak endah. Nasihat dan amaran Cikgu Amir bagaikan mencurahkan air ke daun keladi.
   
     “Fariz, awak dengar tak apa yang saya katakan tadi?” Kali ini nada suara Cikgu Amir agak sedikit rendah. Cuba dipujuk hatinya agar tidak terlalu marah kerana ikut akan hasutan syaitan.
   
     “Dengar, cikgu...” Hanya itu saja yang terucap dari bibir Fariz. Pandangannya dilemparkan ke arah luar bilik Cikgu Amir. Cikgu Amir betul-betul buntu dengan sikapnya. Sejak ibu bapanya bercerai tiga tahun yang lalu, prestasi akademiknya semakin merosot. Malah mendadak! Fariz, seorang pelajar yang pintar, peramah serta seorang atlet muda yang sering mewakili sekolah dalam acara olahraga kini menjadi seorang yang??? Entahlah... Apa yang difikirkan oleh anak muda itu sehingga kelakuannya menjadi teruk sebegini? Seringkali juga Cikgu Amir dan guru-guru lain ternampak Fariz bergaul dengan pelajar-pelajar yang tidak bermoral.
    
     Sejak hari itu, Fariz sudah pandai ponteng sekolah dan melawan kata guru. Di mana Fariz  yang dahulu? Pelbagai cara sudah dilakukan oleh Cikgu Amir dan guru-guru lain untuk membimbingnya supaya kembali ke pangkal jalan. Namun, usaha mereka sia-sia. Cikgu Amir mengeluh. Anak muda itu sudah dianggapnya sebagai anak sendiri suatu ketika dahulu dan kini sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membimbing anak itu supaya tidak tersasar jauh dari jalan benar. Cikgu Amir mengeluh lagi.
   
     “Baiklah. Ini perjanjian kita. Tahun ini ialah tahun penentu masa depan awak.  Jika awak berjaya mendapatkan keputusan yang  cemerlang dalam SPM, saya akan bersihkan rekod zaman ‘jahiliah’ awak itu. Sekarang pilihan berada di tangan awak, sama ada awak teruskan dengan sikap awak itu, digantung dan kemudian dibuang sekolah... ataupun ubah sikap awak ke arah yang lebih baik. Fikir baik-baik, jika rekod berhenti sekolah awak buruk, tak akan ada pekerjaan yang akan awak dapat! Bagaimana awak nak sara hidup awak nanti?” Cikgu Amir pandai bermain dengan kata-kata. Hatinya hanya mampu berdoa agar Fariz memilih pilihan yang kedua. “Baiklah, saya beri awak masa. Sementara saya keluar berjumpa dengan pengetua sekolah, saya mahu awak pertimbangkan cadangan ini. Saya akan kembali ke dalam bilik ini setengah jam dari sekarang.” Cikgu Amir mengambil beberapa fail dan dokumen kemudian melangkah keluar dari bilik itu dengan penuh harapan.
   
     Fariz masih berdiam diri. Masih memikirkan cadangan Cikgu Amir. Hatinya berbelah bahagi. Masih runsing dengan dirinya dan kehidupannnya. Mengapa pilihan seperti itu yang diberikan? Patutkah dia lari dari semua ini? Tidak! Kakinya terlalu penat untuk lari dari masalah yang sering melanda hidupnya. Kini, perubahan harus dilakukan agar kejayaan dapat dicapai.
     
    30 minit berlalu...
    
     Cikgu Amir melangkah masuk.
    
     “Jadi, bagaimana? Sudah pertimbangkannya?” Sekali lagi sunyi menyelubungi suasana. Fariz masih teragak-agak dengan keputusan yang dibuat.
     
    “Baiklah, cikgu. Saya sudah pun membuat keputusan. Saya akan cuba untuk berubah jadi lebih baik.” Fariz tunduk memandang lantai yang kosong. Sama seperti fikirannya, kosong.  Betulkah keputusan yang dia pilih ini?Cikgu Amir menarik nafas lega dalam hati. Ternyata doanya dimakbulkan. Cikgu Amir berlagak tenang. “Baiklah. Jika itu yang awak pilih saya akan bantu awak.”
   
     “Bantu saya bagaimana, cikgu?” soal Fariz.
     
    Cikgu Fariz tersenyum. Kemudian, dia keluar dari pejabat dan masuk semula dengan membawa seorang pelajar perempuan di sisinya. “Baiklah, Fariz. Saya perkenalkan, ini Rauqah, pelajar kelas Sains ICT. Rauqah akan bantu awak dalam akademik.”
     
    Siapa budak perempuan ni? Tak pernah nampak pun. Lagipun, kenapa Cikgu Amir pilih ‘perempuan’ untuk membimbing aku? Boleh ke dia ajar aku? Silap-silap, aku yang ajar dia. Oh, apa salahnya? Sekali-sekala boleh buli budak perempuan ni. Fariz bermonolog dalam hati.
     
    “Rauqah, jika awak ada masalah dengan Fariz, boleh beritahu saya,” ujar Cikgu Amir lalu menjeling sinis pada Fariz. Rauqah mengangguk tanda mengerti. “Fariz, jangan cuba nak buli dia. Rauqah ada tali pinggang hitam Taekwondo. Jadi, berhati-hati.” Sambung Cikgu Amir tetapi kali ini ditujukan kepada Fariz.
     
    Kelihatan Fariz sedikit terkejut namun disembunyikan perasaannya itu. “Macam mana cikgu tahu isi hati aku? Ah! Tali pinggang hitam ke? Oren ke? Merah jambu ke? Peduli apa aku?” Dia mengomel perlahan.
                                                     ***
    Pulang sahaja dari sekolah, Fariz diarahkan untuk terus ke kantin bagi memulakan sesi pembelajarannya. Sesampainya di kantin, mata Fariz melilau mencari seseorang. Dari jauh dia nampak ‘seseorang’ yang dicarinya, Rauqah. Kelihatan Rauqah menantinya di sebuah meja di sudut yang agak jauh dari pandangan orang lain. Langkahnya segera menuju ke arah Rauqah. “Ehem!” Perkataan itu saja yang dikeluarkan untuk menarik perhatian Rauqah. Lantas, Rauqah berpaling ke arahnya.
     
     “Ouh? Dah sampai. Duduklah,” ujar Rauqah lalu mengeluarkan buku teks dan nota sejarah sebagai bahan pembelajaran mereka. Fariz memilih untuk duduk di sebelah Rauqah. “Eh, kita bukan muhrim! Duduk depan saya!” Arahan Rauqah dipatuhi.
   
     Haish! Banyak songehlah perempuan ni. Fariz yang duduk bertentangan dengan Rauqah, hanya memandang gadis itu dengan pandangan kosong. “Fariz... saya tahu semua tentang awak daripada Cikgu Amir. Jangan risau, i’ll make this secret safe. Sekarang saya nak tahu, kenapa sikap awak berubah mendadak? Mana Fariz yang dahulu?” Soalan yang diajukan oleh Rauqah sedikit sebanyak memukul hatinya. Lidahnya kelu tak terkata. Namun,  hatinya memujuk agar berterus-terang dengan gadis itu
    
     “A... Aku... sendiri pun tak tahu. Fikiran aku buntu. Aku sendiri pun tak dapat nak temui jalan penyelesaian kepada masalah aku ni. Selepas ibu bapa aku bercerai, hidup aku terasa kosong. Aku sunyi. Walaupun aku ada di rumah, ayah aku tiada di sisi. Ibu aku bekerja sebagai pembantu kedai hingga ke lewat malam. Apa yang aku fikir, aku ada kawan-kawan yang faham dengan perasaan aku dan boleh buat aku gembira.” Panjang lebar jawapan dari Fariz. Sebuah jawapan  yang ikhlas.
   
     “Betulkah apa yang kau fikir itu satu tindakan yang betul? Pada aku, kau berkawan dengan budak-budak yang terlibat dalam aktiviti yang tak berfaedah.  Kau ponteng sekolah, merokok, tak ingat nak balik rumah... tak fikir fasal ibu kau yang bekerja keras untuk kau bersekolah. Itu yang kau kata boleh buat kau gembira? Kata pelajar terbaik sekolah, takkan tak reti nak bezakan yang baik dan yang buruk?” Wow! Bertubi-tubi soalan yang diajukan kepada Fariz. Menusuk ke dalam jiwa pula tu. Fariz benar-benar terasa terpukul. Fikirannya semakin berserabut. Kerisauan yang terpancar  di wajah Fariz membuatkan Rauqah diselubungi rasa bersalah. Alamak, Fariz berkecil hati ke?
     
     “Err, maafkan aku. Aku terlalu emosional. Umm, apa cita-cita kau dari dulu ya?” Soalan itu diajukan untuk mengubah topik dan tidak mahu membuat Fariz berasa lebih tertekan. Fariz berminat dengan soalan yang diajukan. Riak muka gembira kembali terpancar di wajahnya.
     
      “Menarik betul soalan kau. Dah lama reporter  tak tanya aku soalan ni. Okey, dari dulu cita-cita aku tinggi. Setinggi awan di langit. Menjadi seorang juruterbang ialah cita-cita aku. Aku nak lihat pemandangan dari atas langit. Mesti menarik. Kau pula?”
     
    Rauqah terkejut. Aikk? Kenapa tanya aku pula? Ah, jawab ajela!
    
     “Err... memandangkan aku ambil Sains ICT, aku berangan nak jadi  photographer.  Aku suka kumpul gambar kerana adanya gambar... aku boleh ingat kenangan lalu. Di setiap gambar ada memori terindah. Eh, kalau kau dah jadi juruterbang nanti, bolehlah bawa aku, kan? Dapat aku tangkap gambar  pemandangan dari atas awan. Waktu malam pula, aku boleh tangkap gambar bintang yang berkelipan. Wah, seronoknya!” ujar Rauqah. Fariz hanya memandang gembira. Entah mengapa sejak dia bertemu dengan gadis ini, dia tekad ingin mengubah nasibnya sekaligus ingin mengenali gadis ini dengan lebih dekat lagi.
                                             
                                                               ***
     Pertemuan antara Fariz dan Rauqah sejak hari itu membuatkan mereka menjadi rakan baik. Rauqah bersungguh-sungguh mahu membantu Fariz. Fariz pula berusaha keras untuk mencapai kejayaan. Hanya tinggal tiga minggu sebelum peperiksaan SPM menjelang. Debaran semakin terasa.
   
     Fariz kini sudah berubah menjadi baik. Pertemuannya dengan Rauqah juga telah menyebabkan berputiknya rasa sayang terhadap gadis itu. Rasanya lebih daripada seorang rakan. Ingin diluahkan rasa hatinya tetapi takut menganggu konsentrasi gadis itu. Takut cintanya ditolak pun, iya juga. Akhirnya keputusan dibuat. Sesi luahan hati akan dibuat selepas SPM. Ya, itulah yang terbaik!

     Seminggu sebelum SPM...
    
     “Fariz! Maaf, aku tak dapat nak study dengan kau hari ini. Aku ada hal sikit. Kita tangguhkannya lain kali ya?” beritahu Rauqah. Fariz mengangguk tanda faham.  Rauqah kelihatan tergesa-gesa meluru keluar dari kawasan sekolah. Fariz teringat sesuatu. Dia ingin Rauqah menemaninya keluar pada hari esok untuk membeli hadiah buat ibunya. Segera Fariz berlari mendapatkan Rauqah. Tiba-tiba... kedengaran bunyi hon yang amat kuat diiringi dengan bunyi jeritan nyaring.
     
     “Rauqah!!!”
      
    Fariz berlari mendapatkan Rauqah yang terbaring di atas jalan raya. Tubuh gadis itu terbujur kaku tidak bergerak. Darah mengalir deras dari kepala Rauqah akibat hentakan yang kuat. Terdapat sebuah kereta berdekatan dengan Rauqah. Kereta itulah yang menyebabkan Rauqah tidak bernyawa lagi. Pemandu kereta tersebut keluar dan tubuhnya menggigil lemah.
   
     Air mata Fariz berlinangan di kelopak mata. Tak mampu ditahan lagi. Akhirnya jatuh membasahi pipi. “Rauqah... bangunlah. Aku baru nak ajak kau jumpa dengan ibu mertua.” Hanya itu yang mampu diucapkan untuk menenangkan hatinya sendiri. Air matanya masih mengalir deras. “Rauqah... bangunlah. Jangan tinggalkan aku. Siapa nak sokong aku ambil SPM nanti. Kau kata nak berjaya bersama? Aku nak bawa kau naik kapal terbang dan tangkap pemandangan dari atas langit. Kau suka semua tu, bukan?” Perasaannya tak mampu ditahan lagi. Fariz menangis teresak-esak. Tubuhnya lemah untuk menghadapi semua ini. Rauqah sudah tak bernyawa lagi. Tiba-tiba, Fariz terlihat sehelai kertas yang berada di genggaman Rauqah. Dibuka dan dibacanya satu-persatu ayat yang ada di dalamnya.
     
    Aku gembira Fariz sudah berubah. Berubah ke arah yang lebih baik. Aku sendiri pun tidak menyangka akan perubahan ini. Begitu drastik buatku. Fariz juga semakin taat kepada agama dan ibu bapanya. Aku teringin mahu memberi hadiah kepadanya. Tapi apa ya? Aku harap sikap Fariz sekarang ini akan berkekalan buat selamanya.
   
     Tingginya harapan kau pada aku Rauqah. Setinggi awan di langit. Fariz mula memasang tekad di dalam hati. Ya, aku akan capai impian aku dan juga impian Rauqah! Biarlah impian ini sampai ke bintang. Itu janji aku...

 Note : Wahh ! Siap juga cerpen ni . Seminggu hari seminggu malam nak cari idea. Mencari ilham di bawah kerlipan bintang yang terang , mencari ilham sambil dengar radio HOTFM dan tiba - tiba lagu Asmidar dan kemudian tercetusnya Cerpen : Biar Sampai Ke bintang. Cerpen ni memang agak panjang pada mulanya, namun telah diperbetulkan tang mana yang tak betul tuu ~ Jutaan terima kasih dan rasa sayang kepada Kak Ira ( Dunia Filantropi Nira Karmila ) yang berusaha membantu Wieya untuk siapkan cerpen ni.Apa pendapat semua ya tentang cerpen ini ? Hm ~ agak - agak kalau Asmidar baca cerpen ni apa pendapat Asmidar ye . ? Wieya memang suka sangat lagu Asmidar tuuuu ...

 - Ku selitkan sekeping gambar sebagai tanda ingatan ku kepadanya. -
     

Terima Kasih kerana sudi membaca entri ni, datang lagi . :)

4 comments:

Ana Khadijah said...

salam..:)
seriously!!ana ske crpen ni..
akq wt la byk2 ea..insyaallah,ana bce sume..ana mnat sgt gn sastera..

dhia adawiyah said...

@Ana Khadijah terima kasih sbb sudi baca cerpen Wieya ni .. hihi .. Ana ada nangis tak bila baca cerpen ni ? ( gurau je ) terima ksih. Insya allah, kalau tak ada ape2 aral melintang wieya akan cuba buat lagi .

Nurhafizah Mohd Noor said...

Aaaa , seriously. Sedihnya .

dhia adawiyah said...

@Nurhafizah Mohd Noor Waa .. terharunyer . Terima kasih sebab sudi baca cerpen yang tak seberapa ni ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...